Tuesday, March 24, 2009

Telan Episod Hitam

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my


Sarah Raisuddin yang bakal muncul di pentas ABPBH2008 akui pengalaman suka duka banyak
mematangkan dirinya.


PUTARAN roda kehidupan pernah membawanya ke destinasi yang diimpikan setiap anak seni yang baru mengukir langkah tanpa perlu melalui noda dan cela industri hiburan.

Putaran roda itu juga pernah mengheretnya ke bawah, memaksa gadis peramah bertubuh kecil ini mengatur semula laluan baru yang perlu ditempuhi selepas berlaku pelbagai insiden yang memusnahkan reputasi seninya.

Segala yang manis pernah dikecapi Siti Sarah Raissuddin. Malah pahit juga pernah ditelannya membuatkan gadis berusia 24 tahun ini kian matang menangani dugaan hidup.

“Saya banyak belajar daripada apa yang berlaku dulu,” kata Sarah yang memuncak nama menerusi lagu Kesetiaan selepas mencuba bakat dalam Bintang RTM 2001.

Akur banyak kenangan pahit terpaksa ditempuhi selepas diuji Tuhan dengan pelbagai kemanisan, Sarah tidak menyesalinya.

Kekecewaan dan kegagalan menjadikan dia semakin matang dalam membuat keputusan. Kekecewaan juga memberinya kekuatan untuk melupakan segala kesedihan.

Sarah cuba bangun mengukir haluan baru biarpun tidak semudah dulu namun baginya, dia perlu lupakan semua kepahitan lalu kerana membiarkan perkara itu mengongkong jiwa hanya merosakkan diri.

“Kesedihan itu menyakitkan, membuat kita menjadi tidak bersemangat. Saya selalu berpegang apa juga dugaan diberikan Tuhan adalah kerana kita mampu melaluinya.


“Tuhan memberikan apa yang termampu untuk saya tanggung, jadi saya laluinya tanpa perlu mempersoal mengapa itu dan ini harus berlaku,” katanya.

Ditemui pada sesi fotografi bersama pereka, Hatta Dolmat yang menggalas amanah untuk menata gayanya pada malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di Rafflesia The Pearl Centre, Hotel Park Royal, Sarah sentiasa positif merencana masa depannya.

Barangkali ada antara perancangan kandas di pertengahan jalan, Sarah enggan mengalah. Untuk apa menyerah kalah sebelum mencuba dan kerana itu, dia masih bersemangat untuk merakamkan album baru.

Berdikit-dikit mengumpul dana, Sarah terlebih dulu akan memperkenalkan sebuah single ciptaan Aidit Alfian yang sudah hampir sempurna.

“Nampak mudah tetapi saya tidak suka mengambil ringan semua perkara. Memang saya ghairah ingin memberikan produk baru tetapi saya tidak mahu gelojoh. Saya sanggup menunggu asalkan hasilnya nanti memuaskan,” katanya.

Sudah mempunyai beberapa material untuk pelaksanaan album keempatnya itu, bagaimanapun, anak kelahiran Kuala Lumpur ini lebih selesa menumpukan perhatian kepada pembikinan single pertamanya dulu.

Akui Sarah, banyak faktor menyebabkan pembikinan album ini mengambil masa panjang dan satu daripada puncanya adalah mengenal pasti aliran yang mahu dipersembahkan kepada khalayak.

“Beberapa perubahan idea berlaku pada saat akhir, namun kini saya menemui apa yang dimahukan. Sebelum ini terlalu banyak yang bermain di fikiran membuatkan saya keliru arah mana yang ingin ditujui.

“Tetapi, apabila sudah menemui apa yang terbaik untuk diri, perjalanan itu menjadi lebih mudah,” katanya.

Pembikinan single itu juga agak mencabar kerana semuanya dilakukan sendiri. Selain peruntukan, Sarah juga perlu berdikari untuk menentukan sendiri apa yang diinginkan.

“Asas perlu ada, malah pengalaman dalam bidang seni turut menjadikan saya lebih teliti. Dulu saya mempunyai syarikat rakaman selain abah untuk membantu dan menyalurkan pendapat tetapi saya tidak boleh selamanya bergantung kepada mereka.

“Apabila bergerak sendiri, saya mempunyai kebebasan dalam berkarya dan ia membuatkan saya ada ketikanya keliru. Namun alhamdulillah, akhirnya saya tetapkan hati dan bersedia untuk mempersembahkan pencarian itu kepada umum tidak lama lagi,” katanya masih merahsiakan konsep yang cuba diterapkan pada single itu.

Empat tahun tanpa album terbaru, Sarah masih menaruh kepercayaan tinggi terhadap pasaran album biarpun industri hiburan dilanda kegawatan.

Dia sentiasa mempercayai jika muncul tepat pada masa dengan produk yang baik, rezeki akan berpihak kepadanya.

“Apa yang penting adalah jujur dan sabar. Saya percaya rezeki akan ada, Insya-Allah,” katanya.

Teruja menanti ABPBH 2008


BIARPUN belum pernah merangkul sebarang trofi untuk ABPBH, akui Sarah, dia teruja menanti detik 12 April kerana ada sesuatu istimewa menanti peminat pada malam itu.

Sarah melihat peluang mengadakan persembahan sebagai satu ruang besar, malah mengubat rindunya yang lama tidak beraksi pada acara berprestij.

“Ia satu kemunculan yang bermakna apatah lagi saya menyanyi untuk menyatakan kekaguman dan penghargaan terhadap insan yang dikagumi.

“Semua itu membuatkan saya cukup teruja menanti detik ABPBH 2008,” katanya.

Perasaan yang sama turut dikongsi pereka pakaiannya, Hatta Dolmat yang akan menata gaya Sarah di permaidani merah dan ketika persembahan.

Anak kelahiran Melaka itu menyifatkan peluang itu sebagai kesempatan terbaik kerana penyanyi bertubuh kecil molek itu mempunyai personaliti yang kuat serta dapat membawa dengan baik setiap rekaan dihasilkan.

Pada malam ABPBH 2008 nanti, Hatta yang pernah dinobatkan Pereka Terbaik pada malam ABPBH 2006 untuk rekaan gaun glamor Erra Fazira berkata, dia merencana sentuhan berbentuk semi couture kepada penyanyi itu.

“Saya ingin lari daripada kebiasaan, namun kali ini sentuhan itu lebih praktikal,” katanya yang ternyata senang dengan kerjasama diberikan Sarah ketika sesi fotografi berjalan.

Hatta juga memuji tema ABPBH 2008 yang mengangkat tema Sentuhan Tenun kerana memberi nilai tinggi kepada material dan warisan budaya Melayu.

“Selama ini mungkin ada yang keliru, malah tidak berani menggayakan fabrik berciri tempatan ke majlis gemilang. Namun, ABPBH sentiasa berani menongkah arus dan berusaha untuk memastikan warisan tempatan tidak pupus ditelan masa.

“Pendedahan seperti ini akan membuka ruang kepada pencinta fesyen untuk mendekati teknik penghasilan sesuatu material, selain memberi inspirasi untuk kami mengkomersialkan fabrik tempatan,” katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Hip/20090323075726/Article/index_html