Tuesday, February 24, 2009

Suka rakam detik indah

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

Penyanyi kecil molek Sarah Raissudin lebih selesa menggunakan gajet dengan satu fungsi.

BAGI sesetengah pengguna, terutama anak-anak muda, telefon bimbit canggih menjadi gajet paling bermakna untuk mereka.

Tidak menarik rasanya jika menggunakan telefon bimbit lama dan tidak mengikuti peredaran zaman.

Berlainan pula bagi penyanyi kecil molek, Sarah Raissuddin, 24, yang enggan mengejar kecanggihan teknologi telefon bimbit.

Senang kata, Sarah tidaklah obses dengan kemudahan teknologi canggih yang silih berganti, sebaliknya dia masih mempelajari pelbagai perkara yang berkaitan gajet.

Walaupun dia boleh dikatakan penggemar gajet, namun Sarah lebih suka menggunakan telefon bimbit dengan fungsi utamanya.

Sebagai contoh, Sarah menjelaskan, peranan biasa telefon bimbit baginya adalah membuat, menerima panggilan, menghantar dan menerima Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

"Kalau ada orang lain yang suka ambil gambar dan mengakses Internet melalui telefon bimbit, berlainan pula bagi saya.

"Secara peribadi, saya lebih gemar mengambil gambar menggunakan kamera digital berbanding dengan telefon bimbit.
"Rasanya macam tidak ada kepuasan," jelas Sarah meluahkan pendapat peribadi ketika ketika ditemui Kosmo! di Hulu Klang, Ampang baru-baru ini.

Beritahu Sarah, dia kini menggunakan telefon bimbit berjenama Sony Ericsson S500i sejak beberapa bulan lepas.
Walaupun telefon bimbit jenis itu didatangkan dengan rupa dan fizikal canggih, namun telefon bimbit itu sekadar menjalankan fungsi paling minimum.

"Boleh dikatakan saya mementingkan kepuasan. Kalau hendak ambil gambar, lebih baik saya gunakan kamera digital.

"Kalau hendak melayari laman sesawang, saya akan gunakan komputer riba.

"Tidak biasa rasanya kalau saya jadikan telefon bimbit sebagai satu wadah untuk bermacam fungsi.

"Agak pelik juga perangai saya. Kalau orang lain mahu satu gajet yang meliputi segala-galanya, saya pula lebih suka sekiranya gajet itu dalam satu peranan semata-mata.

"Bukanlah kerana ingin tunjuk lagak saya mampu beli bermacam-macam gajet, tetapi saya amat mementingkan kepuasan diri," akui Sarah.

Sarah menambah, Sony Ericsson S500i seberat hanya 94.0 gram itu merupakan sebuah telefon bimbit yang cukup menawan dan bersesuaian dengan dirinya.

"Walaupun tidak menggunakan secara total fungsi telefon bimbit ini sebagai gajet yang canggih, namun saya seronok apabila berpeluang memiliki telefon bimbit jenis ini.

"Agaknya sebab ia ringan dan menampilkan bentuk yang menarik, maka saya menyukainya dalam masa singkat," beritahu penyanyi genit itu yang terkenal dengan lagu Kesetiaan.

Untuk kamera digital, Sarah menggunakan gajet jenama Nikon D70 yang dibelinya beberapa tahun lalu.

"Saya memang 'gila' mengambil gambar. Kalau ingin pergi ke mana-mana, sudah pasti saya ialah orang pertama yang sibuk untuk merakamkan detik-detik indah dengan orang di sekeliling saya.


"Walaupun saya bukan pakar dalam mengendali selok-belok kamera digital, namun hasilnya cukup membanggakan.

"Walaupun reka bentuknya kecil, jangan dipertikaikan kehebatan kamera digital Nikon D70 ini.

"Saya tidak perlu bersusah payah untuk belajar cara-cara mengambil gambar. Kalau hendak merakamkan gambar yang berada di sekitar, saya terus mengambilnya mengikut kesukaan saya.

"Memang imej gambarnya tidak sehebat jurukamera profesional, namun saya bangga melihat hasilnya.

"Boleh dikatakan kamera digital Nikon D70 bersesuaian dengan pengguna yang tidak berapa pandai macam saya," ujar jawab Sarah sambil tertawa.


http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0225&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_05.htm

No comments: