Monday, December 22, 2008

Sarah tersentuh kerana masih diingati

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my



Tampak kesungguhan pada wajahnya diiringi nada penuh semangat untuk kembali mewarnai persada seni suara selepas hampir lima tahun tidak muncul dengan album.

"Saya mahu buat 'comeback' dan menyerlah semula," kata penyanyi kecil molek Siti Sarah Raissudin, 24, penuh pengharapan.

Terlalu banyak ujian melanda kehidupan Siti Sarah sejak lima tahun kebelakangan ini dan fitnah yang ditaburkan terhadapnya mencalarkan imej serta hampir menjejaskan karier nyanyian.

Namun, sokongan peminatlah yang membuatkan penyanyi popular dengan lagu Kesetiaan ini bangkit daripada kejatuhan dan menggilap semula namanya.

"Hampir lima tahun tiada album, namun peminat masih mengingati saya. Setiap kali membuat persembahan mereka sering bertanya bila agaknya saya akan muncul dengan album baru?

"Apabila mereka menyuarakan hal itu, hati saya tersentuh kerana tidak menyangka masih ada lagi peminat mahu mendengar nyanyian saya. Saya ingatkan mereka sudah melupakan saya.

"Berasakan masih ada lagi harapan untuk bersinar, saya kumpulkan semangat untuk merencanakan semula karier seni saya sekali gus menerbitkan album baru yang kini dalam proses praproduksi," katanya.

Memastikan hasilnya yang terbaik, pemilik suara seksi ini tidak kisah menunggu lama asalkan 10 lagu yang dimuatkan dalam albumnya nanti dapat memberi kepuasan tidak hanya kepada dirinya selaku penyanyi tetapi juga peminat.

"Saya tidak mahu buat album tangkap muat yang bersandar pada satu single saja sementara yang lain tidak bagus. Saya mahu setiap lagu di dalam album ini mampu menjadi hit.

"Disebabkan itulah, saya tidak pernah berkira soal bajet kerana percaya untuk menghasilkan album yang bagus kita kena berani melabur. Tidak sekadar album berkualiti, saya juga mahu menjadikannya sebagai album yang ada hala tuju.
"Dengan bajet sendiri, saya juga dapat terbabit secara langsung sepanjang proses pembikinan album ini. Dulu saya tidak berpeluang kerana segalanya diuruskan syarikat rakaman," katanya.

Nama besar yang dijangka terbabit dalam pembikinan album Sarah ialah Aidit Alfian, Adnan Abu Hassan, Hazami, Sharon Paul dan Helen Yap.

Harian Metro
23 Disember 2008

No comments: