Friday, December 12, 2008

'Sekarang pun dia cuba burukkan Sarah'

Terpalit pelbagai kontroversi panas selepas karier seni tidak lagi diurus bapa

BERGELAR artis bermakna merelakan diri untuk terdedah kepada sebarang kontroversi. Suka atau tidak, itulah lumrahnya menjadi anak seni. Walau pahit untuk ditelan, kontroversi tetap harus dilalui. Anak seni mana yang tidak dihambat kontroversi, namun sesetengah mereka beranggapan kontroversi mematangkan diri.




Lapan tahun bergelumang dalam dunia seni suara, si genit ini juga tidak ketinggalan merasai sendiri kontroversi yang hampir menggoyahkan namanya.

Isu mungkir janji kerana gagal menghadiri persembahan, soal bergaduh dengan bapanya hanya kerana dia mengambil pengurus baru, tidak bayar gaji pembantu peribadi dan diikuti dengan kisah putus tunang antara kontroversi yang dikaitkan dengan Siti Sarah Raisuddin.

Biar banyak sekali yang berlaku dalam kerjayanya sejak akhir-akhir ini, wanita berusia 24 tahun ini terus gagah meniti laluan penuh ranjau ini. Memang benar andai difikirkan kembali, ingin saja dia mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni tetapi wanita berasal dari Kuala Lumpur ini tidak mahu dilihat sebagai insan lemah dan cepat mengalah.

Persoalannya kata Sarah, kenapa tatkala berada di bawah jagaan bapanya Raisuddin Hamzah, kontroversi langsung tidak pernah timbul. Namun sejak dia melantik pembantu peribadi kerana bapanya sibuk menguruskan syarikat milik mereka Global Work muncul pelbagai konflik.

“Sejak abah tidak lagi menguruskan Sarah, Sarah rasa ditipu. Malah sejak menggunakan khidmat orang itu, Sarah mengalami kejatuhan gila-gila sehingga sekarang pun dia masih lagi cuba memburuk-burukkan Sarah.

“Kenapa ketika abah menguruskan Sarah semua ini tidak berlaku. Sejak orang itu kerja dengan Sarah, banyak perkara tidak baik yang timbul. Sehingga Sarah dituduh mungkir janji kerana tidak hadir persembahan, datang lambat untuk fotografi dan sebagainya. Semuanya berpunca dari orang itu.

“Kalau dia menjalankan tugasnya dengan betul pasti semua ini tidak berlaku. Sepatutnya sebagai pembantu peribadi dia perlu tahu tanggungjawabnya kerana jadual Sarah ada padanya,” kata Sarah kecewa dengan sikap bekas pembantu peribadinya.

Disebabkan bekas pembantu peribadinya yang cuai, menyeret Sarah ke kancah kontroversi hingga hampir mengancam namanya. Keadaan itu menyebabkan bapanya hampir bersuara dan ingin kembali menguruskan semula kerjaya anak kesayangannya itu.

“Sarah pelik kenapa orang kata saya bergaduh dengan abah sedangkan dia adalah bapa Sarah. Dek kerana pelbagai kontroversi yang melanda Sarah, abah cakap dia nak menguruskan semula Sarah.

“Tapi Sarah bersyukur kerana pelbagai kontroversi yang dilalui mematangkan Sarah. Jika tidak, tentu Sarah tidak matang dan terus mengharapkan abah sehingga sekarang. Sarah yakin abah pasti bangga dengan perkembangan Sarah, cuma Sarah kasihankan abah kerana dia pula yang terpaksa bersusah payah membersihkan ‘najis’ yang terpalit pada Sarah,” kata gadis ini yang menganggap setiap hari yang dilalui adalah pelajaran baru untuknya.

Lima tahun tiada album

HAMPIR lima tahun tidak menghasilkan album baru, Sarah kini tidak sabar-sabar untuk tampil dengan buah tangan terbaru. Bagaimanapun, wanita ini tidak mahu menghasilkan album tangkap muat.

Justeru, dia sanggup menanti lama asalkan dapat menghasilkan album berkualiti. Dengan bajet sendiri, kata Sarah dapatlah dia campur tangan dalam segala urusan penghasilan album sendiri berbanding sebelum ini kerana terikat dengan syarikat rakaman yang lebih banyak membuat keputusan dalam albumnya.

“Sarah mahukan album berkualiti dan ada arah tuju yang sama. Sarah tidak mahu album rojak, kalau boleh biarlah lagu yang terkandung dalam album itu nanti semuanya ‘boom’ dan ada kekuatan masing-masing.

“Sarah tidak mahu peminat tertipu. Sekarang ini Sarah lebih memikirkan keuntungan kedua-dua pihak. Sarah mahu album ini menjadi hadiah paling bermakna setelah lima tahun tidak tampil dengan album,” katanya.

Masih berkawan dengan Fuad

BIAR kasih sudah terputus, Sarah akui hubungannya dengan bekas tunangnya Mohd Harith Fuad Robbinson masih lagi baik. Bagaimanapun sejak Fuad berpindah ke Eropah mereka semakin jarang berhubung, tetapi ketika Fuad berkunjung ke sini baru-baru ini, Sarah tidak melepaskan peluang bertemu dengan bekas tunangnya.

Ditanya apakah seandainya satu hari nanti kasih mereka kembali bertaut, Sarah akan menerima Fuad semula, Sarah enggan memberikan sebarang komen. Katanya dia bimbang kenyataannya itu nanti akan memakan diri.

Siapa pun jodohnya, Sarah tidak kisah dan menyerahkan soal jodoh kepada takdir. Namun yang penting lelaki yang bakal menjadi teman hidupnya tahu menghormati keluarga dan mengetahui selok belok agama supaya dapat membimbingnya.

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Berita Harian 12 Disember 2008
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Hip/20081212075512/Article/

1 comment:

Aleeza Zaily said...

Wah! busy-busy pun ada masa nak tulis blog eh! U go girl!